Friday, January 10, 2014

JOM BAIKI DIRI KE ARAH LEBIH BAIK

Pernah diceritakan kisah seorang lelaki yang bertaqwa, menjaga solatnya, berpuasa dan menjaga ibadahnya kepada Allah Taala. Isterinya juga seorang yang bertaqwa. Suatu hari, apabila dia pulang ke rumah dia melihat air muka isterinya berubah dan menjadi kemerah-merahan. Dia sangat terkejut dengan keadaan tersebut.

Lalu, si suami bertanya kepada isterinya perkara yang telah berlaku, tetapi isterinya enggan menceritakannya. Apabila dia berterusan meminta isterinya menceritakan apa yang berlaku, isterinya bertanya :

“ Adakah kamu mengenali pengisi air itu? ”

– Pengisi air yang dimaksudkan adalah orang yang mengisikan air ke dalam tempayan untuk diminum oleh tuan rumah.

Suaminya menjawab : “ Ya ”

Isterinya meneruskan kata-katanya : “ Berapa lamakah dia telah berkhidmat dengan kita? ”

Suaminya menjawab “ Lebih dari 30 tahun ”

Isterinya bertanya lagi : “ Adakah kamu mengetahui kejahatan atau keburukan pada dirinya? ”

Jawab suaminya : “ Tidak ”

Isterinya pun berkata : “ Hari ini dia telah melakukan satu perbuatan yang buruk ”

Lelaki itu bertanya : “ Apakah yang telah dia lakukan? ”

Isterinya pun menjawab : “ Ketika dia datang untuk mengisi air ke dalam tempayan di dalam rumah kita seperti kebiasaannya, aku pun membuka tempayan tersebut. Apabila aku menutup kembali tudung tempayan tersebut, tiba-tiba dia pun memegang tanganku dan menggengam pergelangan tanganku kuat sedikit ”

Apabila suami itu mendengar cerita tersebut, dia menangis sepuas hatinya. Kemudian, suaminya bangun solat taubat sebanyak dua rakaat meminta pengampunan dengan Tuhannya.

Si isteri bertanya : “ Mengapa dengan kamu? Mengapa kamu tidak pergi kepadanya dan menghukumnya? ”

Si suami menjawab : “ Tidak, apa yang berlaku berpunca daripada diriku sendiri ”

Perhatikan maksud kata-kata ini ;
“ Apa yang berlaku berpunca daripada diriku sendiri ”

Isteri bertanya : “ Bagaimana begitu ”

Jawab lelaki tersebut: “ Telah datang kepadaku seorang wanita hari ini, dia meminta aku membaiki gelang tangannya yang diperbuat daripada emas. Ketika dia masukkan gelang tersebut ke tangannya untuk ditunjukkan kepadaku untuk menunjukkan saiznya, aku tidak menundukkan pandanganku. Aku melihat tangannya melebihi had yang sepatutnya. Nafsu menguasai diriku dan aku meletakkan tanganku pada gelangnya dan menggengam sedikit tangannya seperti lelaki tersebut menggengam tanganmu ”

Ketika mereka tidur, datanglah seorang dalam mimpi si suami lalu dia berkata:
“ Gengaman dibalas gengaman. Sekiranya kamu melakukan lebih daripada itu kepada perempuan tersebut, lelaki itu juga akan melakukan lebih dari itu kepada isterimu ”

-----------------------------------------------------

Ibrah dari kisah ini.

1) Tundukkan pandangan dari melihat perkara yang diharamkan oleh Allah Taala.

2) Allah Taala akan membalas segala perkara buruk yang kita lakukan.

3) Sebagaimana kita tidak suka orang yang kita sayangi disakiti, kita juga perlu menjaga diri dari menyakiti orang lain.

4) Bersegeralah memohon keampunan dari Allah Taala apabila melakukan dosa dengan sebenar-benar taubat dan berazamlah untuk tidak mengulanginya lagi.

5) Mohonlah perlindungan dari Allah supaya tidak terjebak dalam perkara yang dimurkaiNya.

6) Berusahalah menjadi hambaNya yang mentaati suruhanNya dan meninggalkan maksiat kepadaNya.

7) Basahkan lidah dengan istighfar. Dalam masa yang sama, hiasi diri dengan amalan ketaatan dan meninggalkan maksiat sebagai tanda benarnya istighfar yang diucapkan.

No comments:

Post a Comment