Wednesday, February 26, 2014

LUAHAN HATI SEORANG AYAH

Abah tahu kamu sukakan seseorang. Hanya dengan mendapat satu pesanan ringkas sahaja sudah membuatkan kamu tersenyum lebar. Siapakah gerangan yang mencuri hati anak perempuan Abah? Hendak juga Abah tahu. Agaknya senyuman kamu itu manis seperti itu ataupun tidak sekiranya Abah yang menghantar pesanan ringkas itu?

Abah suka tengok FB kamu, yelah, Abah sayang kamu. Abah hanya mampu pantau setiap pergerakan kamu melalui FB. Seronok melihat kamu berjalan-jalan dengan kawan-kawan kamu, gambar kamu pun banyak. Yang tak tutup aurat pun banyak. Kadang-kala Abah tegur juga tentang aurat kamu di FB, tetapi sayangnya, kamu marah Abah lantas kau remove dan block Abah daripada FB kamu. Abah sedih, tetapi takpe, Abah buat FB lain.

Sedang membelek FB kamu, tiba-tiba Abah terasa hendak menangis membaca satu post daripada FB kamu:

" Sekiranya berkahwin kelak, akan ku menutup auratku demi bakal suami tercinta."

Abah termenung sebentar. Kamu sanggup menutup aurat untuk bakal suami kamu tetapi untuk Abah kamu biarkan sahaja! Abah perlu tahu siapa yang benar-benar mencuri hati kamu ini. Kamu baru tingkatan 3! Mana boleh fikir tentang kahwin lagi!

Akhirnya ALLAH mempertemukan siapa jejaka yang mencuri hati kamu. OH! Terkejut Abah tengok lelaki itu. Namanya Keparat bin Kesengalan. Abah sungguh cemburu melihat kamu begitu mesra melayan dia sedangkan dengan Abah sendiri kamu tidak mahu pandang walau sedikit pun.

Apalah salah Abah ye? Kenapa kamu sanggup dengar kata lelaki itu sedangkan dengan Abah kamu tengking dengan mudah. Ya, Abah bukanlah begitu berharga buat kamu, tetapi jangan lupa satu perkara sahaja.

Jangan kerana cinta kamu lupa pada pelajaran kamu, keluarga kamu dan diri kamu itu sendiri. Benar syurga di bawah tapak kaki ibu, tetapi kuncinya ada pada Abah. Kamu buat jahat di dunia, di akhirat kelak, dengan kamu dan abah sekali masuk neraka. Abah tak sanggup melihat anak Abah hanyut macam tu.

Teringat pula kamu pernah berkata:

" Abah ni, kalau abang buat abah takpe, ni Mira buat semua tak boleh."

Hanya satu je mampu Abah katakan. Abah sayang kamu. Abang kamu orang lelaki, mereka kuat untuk menjaga diri sendiri. Tetapi anak perempuan Abah akan Abah lindungi sehingga mati. Abah tak nak anak Abah terluka.

Sekiranya benar lelaki itu mencintai kamu, panggillah dia untuk ke rumah. Berborak kejap, masuk minang, tiada masalah. Abah tak kisah.Yang Abah kisah ialah apabila kamu keluar dengan lelaki itu tanpa kebenaran Abah, kamu keluar pula dengan membawa busuk maksiat. Kalau ikutkan hati Abah yang kering, mahu sahaja Abah menghalau kamu. Tetapi Abah sayang kamu.

Untuk kesekian kalinya, Abah sangat menyanyangi kamu. Jagalah diri, jangan merosakkan diri Mira untuk kedurjanaan dunia. Sekiranya Abah meninggal dunia, Abah mengharapkan kamu berubah seperti dulu kala. 

Yang berkata,

Abah Mithali yang tersakiti.

p/s: Al-fatihah buat Ayah aku. Hargailah Abah atau Ayah anda selagi masih ada kerana aku sendiri sudah tiada wali yang bernama ayah melainkan saudara kandung lelaki aku. 

No comments:

Post a Comment