Friday, December 20, 2013

INSYA-ALLAH,jangan dibuat MAIN

Manusia ini memang tidak terlepas daripada membuat perancangan dan berjanji.Sebagai ibu,kadang-kala kita merancang segala yang terbaik demi keluarga dan anak-anak.Sebagai manusia juga,kita tidak mengelak daripada berjanji.Sama ada tercapai atau tidak,segalanya tertakluk kepada ketentuan Dia yang Maha Berkuasa.

Merancang dan berjanji;dua perkara yang berbeza tetapi masih dalam konteks yang sama iaitu perkara yang akan dilakukan pada masa depan.Umpamanya ibu berjanji dengan anaknya untuk membelikan barang mainan kegemaran anaknya.Sama ada perancangan itu terlaksana atau janji itu dapat dilakukan,ia berada di bawah takluk kuasa Allah SWT.

Ada orang yang merancang tetapi perancangannya tidak menjadi kenyataan.Ada orang berjanji tetapi apabila tiba masa menunaikan janji,hilang tak nampak bayang!Perancangan tidak menjadi,itu sesuatu perkara di luar jangkaan.Janji tidak dapat ditepati,itu sama ada ingkar sendiri atau kerana masalah teknikal yang lain.

Islam mengajar satu konsep yang amat mudah dalam membuat perancangan dan membuat janji,iaitu mengiringi perancangan dan janji itu dengan kata 'insya-Allah'.Namun selalu juga berlaku,kita main-main dengan ungkapan insya-Allah itu.Umpamanya,apabila mendapat undangan daripada sahabat,kita dalam serba salah sama ada mahu hadir atau tidak.Hendak menolak terang-terangan,rasa tidak sampai hati.Hendak jawab 'ya',hati memang berat hendak memenuhi undangan itu.Lalu kita ambil jalan tengah,'insya-Allah' tetapi dalam hati,'insya-Allah' tak datang!'

Kisah mengenai insya-Allah ini,Allah SWT menyatakan dalam Surah al-Kahfi ayat 23-24 yang bermaksud,"Dan jangan sekali-kali kamu menyatakan tentang sesuatu;"Sesungguhnya aku akan mengerjakan esok",kecuali dengan menyebut insya-Allah."

Ayat ini mengingatkan kita mengenai kekuasaan mutlak yang hanya milik Allah SWT.Oleh itu apabila melafazkan janji,mengikrarkan sumpah atau membuat perancangan,kita akan selalu ingat bahawa kita makhluk yang lemah dan segala yang terlancar dari mulut kita itu akan menjadi kenyataan jika diizinkan Allah SWT.Sebab itulah kita sebut 'insya-Allah' iaitu 'dengan kehendak Allah SWT.'

Menurut riwayat Ibnu Jarir,ayat 23-24 surah al-Kahfi tersebut diturunkan oleh Allah SWT berikutan peristiwa yang tercetus antara Nabi Muhammad SAW dengan kafir Quraisy.Pada suatu hari,kaum Quraisy mengutus dua orang utusannya,an-Nadr bin al-Hars dan Uqbah bin Abi Muith untuk menemui para pendeta Yahudi di Madinah.

Tujuan mereka adalah untuk memastikan kenabian Muhammad SAW sebagai seorang rasul dngan cara menceritakan sifat-sifatnya dan segala yang dikatakannya.Kaum Quraisy beranggapan bahawa para pendeta berkenaan mempunyai kepakaran dalam memahami kitab-kitab yang lama yang telah diturunkan dahulu dan memiliki pengetahuan yang mendalam mengenai tanda-tanda kenabian.Kedua-dua utusan tadi mengemukakan masalah yang sedang dihadapi oleh kaumnya kepada para pendeta yang ditemui.

Para pendeta itu pun menyarankan bahawa untuk memastikan sahih atau tidaknya kenabian Muhammad SAW,ajukan tiga persoalan kepada Muhammad SAW.Sekiranya Muhammad SAW dapat menjawabnya,bermakna dia sememangnya seorang nabi yang diutus oleh Tuhannya.Seandainya Muhammad SAW gagal,maka jelaslah dia hanya mengaku sebagai nabi sedangkan dia bukan Nabi yang sebenar.Tiga persoalan itu ialah;


  • Mengenai pemuda-pemuda zaman dahulu yang pergi mengembara dan apakah yang telah berlaku kepda mereka.
  • Mengenai seorang pengembara yang telah sampai ke Masyrik dan Maghrib dan apakah pula yang berlku kepadanya.
  • Mengenai roh dan apakah roh itu.Utusan ini pulang dan menceritakan pesanan yang diberikan oleh para pendeta Yahudi itu.Kemudian mereka berangkat pula menemui Nabi SAW dan mengajukan tiga persoalan tadi.Nabi Muhammad SAW berjanji dengan pasti bahawa baginda akan dapat menjawab ketiga-tiga persoalan yang dikemukakan.


Dari sehari ke sehari,baginda menanti turunnya wahyu yang akan menerangkan jawapan kepada ketiga-tiga persolan tersebut.Malangnya Malaikat Jibril tidak juga muncul sehingga orang-orang Makkah mulai merasa sangsi terhadap baginda.Nabi Muhammad SAW sendiri merasa bingung dan sedih,mengenai jawapan yang harus dikatakannya kepada kaum Quraisy yang sedang menunggu.

Akhirnya setelah 15 malam berlalu,turunlah Malaikat Jibril membawa beberapa ayat daripada surah al-Kahfi dan al-Isra sebagai jawapan kepada ketiga-tiga persolan berkenaan.Sambil itu,Jibril membawa teguran Allah SWT terhadap sikap Nabi Muhammad SAW yng berjanji tanpa mengucapkan "insya-Allah".

Jelas,insya-Allah bukan perkara yang boleh dibuat main,sama ada ketika hendak merancang sesuatu atau pun semasa perancangan telah dibuat.Berikut antara perkara yang perlu kita berikan perhatian apabila berjanji dan membuat perancangan:



  • BUAT JANJI IKUT KEMAMPUAN 

Jangan berjanji sekiranya kita tidak tahu kita tidak mampu untuk menunaikan janji.Sekiranya kita tidak yakin atau diri kita mampu menunaikan janji,maka lebih baik kita berterus-terang mungkin akan menyebabkan ada pihak yang berkecil hati tetapi itu lebih baik daripada mungkir janji.Sekiranya kita yakin dapat menunaikan janji,ungkaplah 'insya-Allah' sebagai penyerahan kepada Allah SWT,segalanya akan berjalan lancar dengan izin Allah SWT.



  • JANJI HARUS SEDAYA UPAYA DITUNAIKAN
Apabila sudah berjanji,cubalah sedaya upaya menunaikannya.Yang penting ada usaha untuk melunaskan janji kerana dengan usaha itu insya-Allah akan dipermudahkan Allah SWT .




  • BERSERAH KEPADA ALLAH APABILA BERJANJI(TAWAKAL)
Jika ungkapan insya-Allah diucapkan dengan penuh sedar dan faham,bermakna kita menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT.Kata insya-Allah ibarat satu roda,dengan mengharapkan reda Allah supaya memberikan kita kekuatan dan kejayaan menunaikan janji dan membuat perancangan.Apabila kita menyerahkan segala bentuk urusan kepada Allah SWT,bermakna kita sampai ke peringkat bertawakal selepas melakukan segala usaha yang perlu dan patut.




  • INSYA-ALLAH JANGAN BUAT MAIN
Perkataan insya-Allah bukan sebarang ungkapan yang boleh dibuat main.Apabila mengucapkan insya-Allah,haruslah dengan penuh sedar,tekad yang ikhlas dan ada kesungguhan yang padu melaksanakan segala janji.Jangan jadikan insya-Allah sekadar ungkapan di mulut tetapi tiada makna langsung.Boleh jatuh hukum haram,andainya kita ungkapkan insya-Allah tetapi dalam hati memang tidak mahu melunaskan janji atau hati memang tahu tidak dapat menunaikannya.Jika insya-Allah diungkapkan dengan hati tidak ikhlas,itu juga boleh jadi suatu bentuk penipuan juga.


  • JANJI TAPI TIADA NIAT HEDAK TUNAIKAN;MUNAFIK
Berdusta dan ingkar janji adalah antara sifat orang munafik.Sabda Rasulullah SAW,"Tiga perkara yang berada di dalam dirinya,maka dia munafik,walaupun dia berpuasa,sembahyang dan mengaku dirinya Muslim.Apabila dia bercakap dia berbohong,apabila berjanji dia mungkir janjinya dan apabila dipercayai dia khianat."(Riwayat Bukhari dan Muslim)



  • JANJI TAPI TERLUPA;TAK MENGAPA
Rasulullah SAW menjelaskan dalam sabda yang bermaksud:"Apabila seseorang berjanji dengan saudaranya dan dia berniat akan menepati janji itu,tetapi dia  tidak memperoleh jalan untuk menepatinya,maka dia tidaklah berdosa."(Hadis riwayat  Abu Daud dan at-Tirmizi).Apabila janji diucap,usaha dibuat menunaikan janji,tetapi kemudian ada halangan lain yang datang sehingga akhirnya janji tidak dapat ditunaikan.Janji yang gagal ditepati atau perancangan yang tidak menjadi walaupun sudah habis berusaha,dianggap menepati maksud insya-Allah-kerana Allah SWT tidak mengizinkannya berlaku.



  • SELALU MENYERAHKAN SEGALA URUSAN DAN PERANCANGAN PADA KETENTUAN ALLAH SWT
Sebagai manusi,kita berusaha agar perancangan dan beria-ia berusaha agar perancangan kita itu menjadi kenyataan.Apabila perancangan tidak berjalan seperti dirancang,kita kecewa teramat,kita menyalahkan orang lain,mlah kadang kala sukar menerima hakikat kegagalan.Inilah yang berlaku apabila kita tidak menyerahkan segala urusan kita kepada Allah SWT.Kita selalu menyangka kejayaan kita semata-mata kerana usaha kita.Tetapi kita terlupa kadang-kala Allah SWT menguji kita dengan sedikit kegagalan kerana Dia ingin menguji kekuatan kita.

No comments:

Post a Comment