Monday, October 14, 2013

DI MANA NILAI TUDUNG SEBENARNYA

Anak gadis berkurung katup,
Jalan bertiga berbisik kata;
Segak manis bertudung litup,
Sopan bergaya cantik jelita.


60-an dan sebelumnya.Menjadi kemestian bagi anak gadis yang telah akhil baligh tatkala berjalan keluar ke rumah mengenakan selendang.Itu jika ada keramaian.Pada hari-hari biasa seehelai batik basahan di kalungkan di leher lalu dikembangkan menutupi kepala.Anak rambut berjuntai di dahi sementelah tocang yang terjalin panjang terjulur terjuntai ke paras pinggang.

Seain dari sopan dan kesantunan gaya semasa,sarung batik ini turut memainkan peranan sebagai payung pelindung terik cahaya matahari.Andai di kedinginan pagi,sarung batik akan beralih tugas menyelimuti tubuh menghangat badan.Turut dibuat tudung sebagai tabir menepis raut daripada sang Adam.Akan terpelihara dan bertambah serilah sang Hawa.

Bertudung?Saya rasa tak.....

70-an.Skarf mula menampakkan diri di dekad ini.Terlilit di leher atau sebagai cekak mahupun reben pengikt rambut adalah kebiasaan;eksesori pada busana.Menariknya apabila skarf sering dilihat dan diibaratkan sebagai tudung segitiga yang lazim dipakai oleh sang Hawa berusia 35 tahun ke atas.

Skarf tadi di lipat dua bersilang bucu lalu diserkupkan ke kepala,diikat pula pada tengkuk,dua bucu lagi yang bertentangan.Namanya pun skarf;kain panjang sejengkal,yang bertudung hanyalah bahagian tengah kepala.Rambut dahi dan ubun-ubun masih jelas nampak,sebegitu jugalah rambut baagian belakang terjurai lepas.

Bertudung?Belum lagi.....

80-an.Tudung dakwah!Masih ingat?Penggunaan perkataan dakwah yang disempitkan.Seolah-olah dakwah itu hanya pada tudung dan tudung sajalah yang berdakwah.Alahai!Tapi tak mengapa.Saya rasa pada dekad inilah arus atau trend bertudung mula bangkit.Yang jelas tudung kali ini agak litup pemakaiannya.Segala rambut dan anak-anak rambut kemas tersimpul didalam tudung.Ini turut terbawa kepada baju dan kain yang dikenakan.Yang kelihatan cuma raut wajah dan kedua telapak tangan.

Namun jumlah mereka masih boleh dibilang dengan jari.Andai sang Hawa di universiti,kolej mahupun sekolah asrama penuh,sudah tentu 100% terpilih sebagai ketua Hal Ehwal sang Hawa berpotfolio keagamaan.Tak boleh tidak,jawatan ini terpaksa sang Hawa sandang.Pendek kata,pada tanggapan umum,jika bertudung pasti banyak ilmu agamanya.

Dipertengahan dan penghujung dekad ini ternampak pula aliran menyosangkan arus.Ramai sang Hawa yang kembali ke tanah air dari menuntut di negara-negara barat pulang berlitup.Maka tersohor pulalah istilah-istilah seperti jilbab,purdah,hijab,burqa,chador dan seumpamanya.Bilangan 'ninja' juga terus meningkat.Tak kurang juga anak-anak yang takut pada 'hantu kum-kum.'

Bertudung,kesedaran?Entahlah....

90-an.Bilangan sekolah agama rakyat mulai bercambah ke seluruh negeri di Malaysia.Jika pada tahun 70-an hanya popular di beberapa negeri tertentu sahaja akan tetapi perkembangnnya kini semakin menyeluruh di serata Semenanjung.Di sekolah-sekolah,anak-anak gadis tidak wajib namun digalakkan memakai tudung.Maka bertudunglah mereka.Yang tak moleknya,selesai sahaja ke sekolah,tudung terlucut entah ke mana!

Kesedaran,kewajipan?Saya tengok macam terpaksa saja......

Alaf baru.Wardina,Waheeda,Bienda,Siti dan terbaru Ekin disinonimkan dengan gaya tudung tertentu bertudung.Itu belum jenis kain yang dipakai;nipis,lembut,satin,kasar,jarang,sutera dan mahal.Pelbagai saiz,besar,memanjang,sarung-pakai,pasang-siap,selapis,dua lapis,hatta multi-layered and muilti-coloured pun ada!Itu belum sentuh bab jurai,lace,sulam,manik,labuci dan batu-batu kaca dan cermin yang bergemerlapan.Berkancing di dagu,berpeniti di pinggir dahi,berkerongsang di bahu,berkelip di pipi,bersemat di  kepala,bersangkak di dada serta segala ilham pintalan yang tak terklasifikasikan.Oh!Leher dilihat jinjang,jambul sejambak,rantai memancar,subang kemilau.Pulak!

Yang menjelek pandangan,rambut tertutup tapi busana mendakap kemas menzahir setiap inci alun kujur tubuh.Setahu saya selain rambut,aurat menuntut agar tudung dilabuhkan ke paras dada serta berpakaian tidak menyerlah susuk badan.Akan tetapi sekarang yang kelihatan semakin ramai juga yang berkemeja-T lengan pendek dan berstretchable jeans!Itulah jadinya bila berfesyen mengikut orang dan bukannya menurut ilmu pengetahuan!

Kewajipan?Hmm.Pakai tudung saji ajalah......

No comments:

Post a Comment