Monday, August 1, 2011

INTAI CALON MENANTU WAKTU SUBUH

Baru-baru ini ketika mengadakan rewang untuk jamuan Maulidur Rasul di masjid berhadapan rumah ana,pelbagai tajuk disembangkan oleh para jemaah.Ini termasuklah keluhan beberapa orang ibu dan ayah terhadap anak dara mereka tidak kahwin-kahwin kerana sibuk dengan kerjaya sehingga menyerah kepada takdir sahaja.Ada,adalah,tak ada malas nak cari.



"Intip-intiplah mana-mana anak teruna yang rajin ke masjid tu,buatkan menantu,"saran seorang lelaki warga emas yang sedang mengacau gulai kawah kepada kaum ibu yang sedang rancak berbicara.



"Waktu siang-siang begini macam mana nak intip,kita kan kerja?"soal seorang jemaah lelaki.



"Intiplah waktu solat Subuh atau solat Isyak.Jika tengok anak muda itu selalu ke masjid ada harapan jadi calon menantu."



"Apa maksud Abang Haji itu,ana tak faham?"tanya lelaki tadi.Dia merapati Abang Haji itu.Dayung pengacau di tangan Abang Haji bertukar tangan kepadanya dan disuruhnya Abang Haji duduk bercerita.



KAKI MASJID



Abang Haji itu pun bercerita kisah dia memikat menantu sulungnya."Setahun ana perhatikan seorang anak muda yang kerap ke masjid waktu Subuh,Maghrib dan Isyak.Ana mengenali keluarganya.Ana merisik khabar dengan ayahnya yang 'kaki masjid'.Anak bujang itu sememangnya sejak kecil rajin ke masjid mengikut ayahnya.Tetapi apabila ayahnya uzur,dia tetap ke masjid macam biasa.Walau sudah bekerja tetapi apabila balik ke kampung,dia antara jemaah muda yang awal ke masjid.Waktu Maghrib dan Isyak,dia suka beriktikaf di masjid."



"Boleh percaya ke zaman sekarang ini cari calon menantu macam itu.Entah-entah dia buat-buat alim sebab hendak tarik perhatian orang supaya nampak baik,"bidas seorang jemaah wanita yang mendengarnya.



Abang Haji itu menjawab,"Berdasarkan pengalaman ana yang pernah muda,bukan senang untuk seseorang anak muda melangkah ke masjid subuh-subuh hari,jika bukan kerana kemahuannya yang kuat dan bersungguh-sungguh membesarkan Allah SWT.Orang yang dapat bangun subuh dan berjemaah ke masjid adalah orang yang berdisiplin.Lebih-lebih lagi jika masjid itu jauh,tetapi dia sanggup datang sebagai bukti dia menyayangi Allah SWT dan Rasul.Dalam Islam orang lelaki sangat dituntut berjemaah pada waktu Subuh dan Isyak di masjid.Musuh Islam sangat takut jika orang Islam ramai solat Subuh dan Isyak di masjid kerana pada waktu begini ramai yang lalai.Orang jika sudah cinta susah macam mana pun dia akan sanggup datang,begitu halnya jika kita telah jatuh cinta dengan Allah SWT dan Rasul.Malu rasanya jika tak dapat solat berjemaah di masjid.Hilang kejantanan sebagai seorang lelaki Islam!"



"Isyak pula kenapa?"tanya pula seorang lelaki yang sedang mengacau gulai kawah.




Ana melihat semua jemaah tertumpu kepada bicara Abang Haji ini,seronok pula pagi itu bagaikan mendengar kuliah Duha.



MESTI JADI BAIK



Jelas Abang Haji lagi,waktu Isyak ramai orang kepenatan dan suka berehat di rumah sahaja.Maklumlah Isyak waktunya panjang dan boleh dilewatkan sekiranya ada urusan yang tidak dapat dielakkan.Jadi bagi orang yang betul-betul cintakan Allah SWT dan takut terjebak dalam kelalaian,dia akan segera selesaikan urusannya dengan Allah SWT.Oleh itu,apabila anak muda dapat melawan hawa nafsu malasnya dan berasa bahawa mati itu datang tiba-tiba,takut-takut tidak dapat keberkatan jika melengahkan solat Isyak maka mujahadahnya itu merupakan jihad besar.Bagi anak muda yang biasa beramal solat berjemaah,perkara ini tidak jadi susah baginya sebab sudah biasa.Jadi hendak cari calon menantu yang baik-baik,kita juga kena selalu ke masjid.Fahamlah kami,untuk mendapatkan yang terbaik terlebih dahulu kita mesti menjadi baik.Tidak cukup hendak menantu yang baik-baik sedangkan ibadah kita pun masih tunggang-langgang dan sambil lewa.Allah SWT akan anugerahkan kita mengikut apa yang kita usahakan.

No comments:

Post a Comment