Saturday, December 7, 2013

LAKUKAN SESUATU KEBAIKAN ITU LAGI DAN LAGI...

Akhir tahun sinonim dengan cuti.Seorang anak dara ana 'semacam dipaksa atau terpaksa' ke dapur memasak dan menyediakan makanan.Kesediaannya untuk ke dapur sewajarnya dipuji kerana ana tahu ada anak dara yang lain yang sedang menuntut langsung tidak mahu masuk ke dapur.

Bagaimanapun,si anak ana tak terlepas daripada merungut:"Boringlah,dan 'tension' hari-hari nak ke dapur.Bosan sungguh menghadapi perkara yang sama setiap hari.Huiii,boringnya.Boringgg!"

Apabila isteri 'mereportkan keboringan' si anak kepada ana;ana berlagak pandai menjawab:'Jika kita anggap pekerjaan itu satu paksaan,tentulah kita boring.Apa kata,anggaplah memasak itu sebagai ladang untuk menyemai pahala.Semuanya berpahala.Potong sayur dapat pahala,siang ikan dapat pahala,jerang air dapat pahala,tanak nasi berpahala.Tetapi semua itu perlu dilakukan secara ikhlas dengan hati dan (boleh juga) mulut kita sentiasa berzikir;insyaALLAH  semuanya akan mendatangkan kebaikan kepada kita dunia dan akhirat."

Na'am,ana pandai cakap saja;pada peringkat perlaksanaan ana adalah antara orang yang paling tidak sabar.Suruhlah ana buat pekerjaan leceh dan rumit di dapur seperti mengacau rendang serunding dalam kuali,ana adalah orang pertama angkat kaki.Demikian juga apabila disuruh mengasah pisau,ana akan 'cabut'-ana tak sabar dalam melakukan kerja-kerja penuh penelitian dan rumit ini.Suruh masak,lagilah ana tak tahu;yang ana tahu goreng telur dan tanak nasi dalam periuk elektrik sahaja;jika tidak ada lauk,itulah yang ana 'bedal'-nasi berlaukkan telur berkicap!

Pada ketika ana kerap memikir-mikirkan akan jawapan sebenar kepada 'keboringan'anak ana dalam bab memasak itu,suatu malam semasa menghadiri kelas pengajian antara Maghrib dan Isyak,'terbentanglah' jalan keluar daripada sikap 'keboringan' yang selalu kita hadapi apabila ana mendengar sang ustaz antara yang lain berkata;"Kehidupan yang baik adalah pengulangan daripada perlakuan baik kita.Misalnya,semalam kita solat,hari ini kita solat dan insya-Allah esok kita solat lagi.Dari sehari ke sehari kita cuba tingkatkan mutu solat kita agar solat hari ini lebih baik daripada semalam dan insya-Allah esok lebih baik daripada hari ini."

Ana pun terbayangkan jawapan kepada 'keboringan' anak ana.Wahai si anak,semalam ente masak,hari ni pun ente masak dan insya-Allah esok pun ente masak.Tetapi masak hari ini jangan sama seperti semalam sebaliknya kita cuba membaiki mutunya supaya makin lama makin bagus.Jika niat dan cara kita betul,insya-Allah semalam kita dapat pahala,hari ni kita dapat pahala dan insya-Allah esok kita dapat pahala.Jadi jangan ada perasaan untuk rasa 'boring' tetapi teruskan aktiviti memasak lagi,lagi dan lagi,lagi.

Sampai hendak membuat sesuatu kebaikan itu lagi dan lagi,tanya sang ustaz?Jawapannya,sampai dunia ini kiamat atau 'kita dikiamatkan."Matilah tu.

Amat-amatilah bahawa pengulangan berlaku dalam setiap kebaikan kita buat.Misalnya dalam solat kita akan mengulang-ulang perbuatan dan bacaannya misalnya al-Fatihah diulang-ulang pada setiap rakaat.Demikian juga bacaan zikir,semuanya diulang-ulang balik.Kita ulang solat wajib lima kali sehari semlam.

Hari ini kita baca Quran,esok insya-Allah kita akan baca lagi,lisa kita baca lagi;kita buat perkara ini bagi mendapatkan keredaan-Nya semata-mata.

Bagi bab puasa pula,Ramadhan tahun lalu dan sebelumnya kita sudah berpuasa,Ramadhan tahun ini kita juga akan berpuasa dan Ramadhan-ramadhan yang akan datang kita juga akan berpuasa,insya-Allah.

Ustaz menerangkan sesuatu amalan kebaikan perlu dilakukan secara konsisten(berterusan) biarpun sedikit.Misalnya dalam bab bersedekah,hari ini kita menderma RM1,esok kita menderma RM1 lagi,lusa kita menderma RM1 ertinya kita melakukan sesuatu kebaikan itu lagi,lagi dan lagi sampailah ajal menjemput kita.Semuanya dilakukan secar ikhlas,jadi tidak timbul soal seperti 'boring' seperti diungkapkan anak ana.

Adalah bagus untuk seseorang itu beristiqomah menderma RM1 setiap hari tetapi adalah lebih bagus jika dia dapat meningkatkan menjadi  RM2,RM3 dan seterusnya yang juga dapat dilakukan secara konsisten.Ertinya dia cuba menjadikan kebaikannya pada hari ini lebih baik daripada semalam dan insya-Allah esok pula lebih baik daripada hari ini.

Mungkin ana sudah 'nampak' apa yang cuba dijelaskan oleh sang ustaz mengenai keperluan kita melakukan sesuatu kebaikan itu 'lagi,lagi dan lagi lagi(Almaklumlah ana sudah tua);tetapi bagaimana  ana mahu menjelaskannya kepada anak dara ana yang 'merungut asyik-asyik dia kena memasak.'

Namun ana tak salahkan anak dara ana itu 100% kerana ketika ana seusianya dulu,ana lagi teruk;jangankan disuruh memasak,disuruh membeli barangan dapur yang teputus bekalan pun ana pandai membuat akal 'mengelat'.Itulah sebabnya sehingga kini ana hanya pandai menggoreng telur;nak suruh ana masak asam pedas,jawabnya tak makanlah satu keluarga!

No comments:

Post a Comment