Friday, July 13, 2012

RAMADAN SUDAH DEKAT








Rejab sudah berlalu.Kini Syaban pula yang menjelma.Sudah pasti selepas ini,bulan yang penuh barakah akan muncul iaitu Ramadan yang penuh mulia.Bulan al-Quran,bulan keampunan dan bulan ibadah.Tiada siapa yang mengyangkal Ramadan adalah bulan yang penuh kenikmatan dan ganjaran pahala yang melimpah-ruah.Justeru,kita sudah boleh berkira-kira apakah persiapan yang terbaik bagi merentasi sebulan Ramadan.


Adakah minda dan fizikal benar-benar bersedia?Apakah input Ramadan yang sudah kita kutip dan simpan dalam memori kita?Apakah isteri,anak-anak,rakan-rakan sepejabat diberi peringatan tentang hampirnya Ramadan dan sama-sama bersedia menghadapinya?


Ramadan adalah amalan tahunan,menyebabkan ada perkara-perkara tertentu berkaitan amalan sepanjang Ramadan yang kita sudah lupa.Jika untuk pergi menunaikan fardu haji,kita membuat persiapan yang lama mencari bekalan ilmu untuk memperolehi haji yang mabrur.Begitu juga dengan Ramadan.Sebaik-baiknya kita juga perlu mempersiapkan diri dengan ilmu untuk menjalani ibadah puasa dan amalan-amalan lain sepanjang Ramadan.

Pakar hadis,Imam Bukhari berkata,"Kewajipan Muslim sebelum beramal adalah berilmu."

Ilmu berkaitan Ramadan tidak sempat sekiranya mahu dikutip dan digali ketika Syaban mahu berakhir atau Ramadan kian hampir.


ANDAINYA BERAMAL TANPA ILMU



Amal tanpa ilmu ibarat sebatang pokok yang kekeringan dan kegersangan.Amalan yang dilaksanakan itu sedikit sahaja manfaatnya kepada pembinaan iman dan takwa sekiranya tidak didasari dengan ilmu.Allah SWT tidak menerima amalan yang dilaksanakan dalam keadaan kita jahil.Semuanya perlu disertakan dengan ilmu iaitu mengetahui rukun-rukun,syarat-syarat dan adab-adab berkaitan.Apabila disuluh dengan ilmu yang benar dan sahih,ibadah puasa dan ibadah lain sepanjang Ramadan dapat dipastikan betul dan sempurna;menepati syariat dan kehendak Allah SWT.

Tanpa ilmu,tahap puasa kita akan kekal di tahap puasa orang kebiasaan.Yang dikejar bukan ganjaran pahala,tetapi apakah juadah yang perlu disediakan sepanjang Ramadan.Malah ada yang melebih-lebihkan persiapan Syawal berbanding pengisian takwa pada bulan Ramadan.Matlamat Ramadan jauh tersasar.Tidak tercapai nilai ketakwaan yang sepatutnya hasil tuaian sepanjang Ramadan sebagaimana yang Allah SWT firmankan:"Wahai orang yang beriman!Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu,supaya kamu bertakwa."(Al-Baqarah 2:183)

Imam Hasan al-Basri berkata,"Orang yang beramal tetapi tidak disertai dengan ilmu pengetahuan tentang itu,bagaikan orang yang melangkah tetapi tidak meniti jalan yang benar.Orang yang melakukan sesuatu tetapi tidak memiliki pengetahuan tentang sesuatu itu,maka dia akan membuat kerosakan yang lebih banyak daripada kebaikan yang dilakukan.Carilah ilmu selama ia tidak mengganggu ibadah yang engkau lakukan.Beribadahlah selama ibadah itu tidak mengganggu pencarian ilmu....."


SEBELUM RAMADAN.....


Rasulullah SAW memberi isyarat kepada para sahabat.Dua bulan menghampiri Ramadan,Baginda mengajar para sahabat doa khas:


"Ya Allah,berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan."

Oleh yang demikian,kita perlu bersedia untuk belajar.Belajar untuk menghayati Ramadan.Tahu makna puasa yang hakiki.Faham amalan sunat sepanjang Ramadan.Mengerti hukum tajwid di dalam al-Quran yang akan dibaca secara bertadarus.Tahu untuk menghindari kata-kata kosong yang boleh mengurangkan pahala puasa.Yang paling utama,bersedia untuk belajar mencari takwa pada bulan Ramadan dan meletakkan ikhlas sepanjang melaksanakan ibadah ini.


SEGALANYA DENGAN ILMU.....


Pokok pangkalnya,segala ibadah perlu disertai dengan ilmu.Allah SWT meletakkan banyak ilmu dalam satu-satu ibadah.Dalam ibadah puasa itu sendiri terangkum ilmu tauhid,tasawuf,akhlak dan syariat.Puasa membuatkan kita mentauhidkan Allah SWT,mendidik akhlak supaya lebih bersabar,menepati rukun dan kaedah yang betul dengan amalan puasa.Kita hanya akan memperolehinya dengan mengetahui ilmu yang berkaitanpuasa.Barulah amalan yang dilaksanakan dirasai kesannya pada hati dan tindakan lahiriah.

Bagi yang belum mengetahuinya,mereka masih berkesempatan untuk mendalaminya.Jadikan Ramadan yang bakal dilalui dipenuhi dengan ilmu bermula dari waktu bersahur sehingga waktu berbuka puasa,seterusnya hingga ke waktu sahur keesokannya.Apakah yang dikatakan menahan lapar,menahan perbuatan mungkar,tidak berkata-kata perkara yang sia-sia sepanjang Ramadan,iftar(berbuka puasa),solat terawih,qiamullail,tadarus al-Quran,dan sebagainya.Lingkarilah amalan-amalan ini dengan ilmu.Nescaya terbit kemanisan beramal dan kerinduan kepada Ramadan.Nabi SAW bersabda;"Sesiapa yang dikehendaki Allah SWT mendapat kebaikan,dijadikan dia seorang yang beroleh kefahaman yang teliti dalam perkara agama."(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Akhirnya,perbetulkan persepsi diri untuk menyambut Ramadan.Bukan dengan memikirkan Ramadan sebagai medan untuk mencari pakaian baharu dan memperhebatkan juadah untuk berbuka atau hidangan tetamu pada bulan Syawal.Sebaliknya,persiapan Ramadan adalah dengan menanamkan sifat inginkan amalan dipertingkatkan dan mahu jadikan Ramadan kali ini yang terbaik daripada sebelum ini.Tamatnya Ramadan dengan kita berjaya menggenggam ijazah takwa.Anggaplah seolah-olah ini Ramadan terakhir yang akan dilalui dan sudah pasti kita mahukan persembahan yang terbaik buat Rabbul Izzati.

No comments:

Post a Comment