Wednesday, August 3, 2011

SEDIAKAH AKU?




Berapa ramai yang berani mengaku betapa mereka benar-benar memahami erti perkahwinan?Apakah yang bakal mereka hadapi apabila bergelar isteri.Mengerti betapa perkahwinan itu datang bersama dengan tanggungjawab kepada suami dan ibu kepada anak-anak.Barangkali bukan ana.







Ana adalah orang biasa-biasa yang begitu cetek ilmu agamanya.Namun dengan ilmu yang sedikit itulah ana perlu menjalani kehidupan seharian.Ana teruja apabila pilihan hati masuk meminang dan menjadi tunangan beliau.Ketika itu bisikan syaitan terdengar-dengar di telinga.Ia sangat halus membisikkan agar mengimpikan apa yang banyak dipaparkan di media massa."Berjalanlah berpegangan tangan.....bukankah dia bakal menjadi suamimu?"







BAGAIKAN MIMPI



Setahun kemudian kami diijabkabulkan.Bagaikan mimpi,lafaz yang disaksikan oleh seluruh keluarga menjadikan kami sah sebagai suami isteri.Ah!Ana kini menjadi isteri orang.Kini kami bebas berjalan berdua-duaan berpegangan tangan.Sesuatu yang ana impikan sebelum akad nikah diucapkan.






Sekali lafaz diucapkan,ia seumpama deruan air bah yang datang menyerbu di setiap ruang.Bayangkan air yang naik secara mendadak tiba-tiba sahaja sudah berada di paras pinggang.Tanpa sempat menyelamatkan apa-apa.Sekali air bah,segalanya berubah.Barangkali tebing sungai semakin melebar,perabot rumah hancur berkecai,setiap ruang diselaputi lumpur dan tidak ada satu pun serupa seperti asalnya.



"Abah hendak nikahkan ente dengan Mohd Anwaarrufirdaus Haji Abd.Halim.Apakah ente sudi?"




Ana tersentak daripada lamunan apabila wali membuat pertanyaan.Subhanallah!Bagaimana mungkin ana tidak sudi.Kad sudah diedar dan majlis sedaang berlangsung.Malah kita telah berpakaian cantik dan bakal suami kita itu adalah orang yang kita senangi.Ia adalah suatu keputusan yang mutlak dan muktamad.Jika diizinkan Allah SWT,biarlah jodoh itu berpanjangan sehingga ke akhir hayat.Biar sama-sama mengharungi susah dan senang dari muda ke tua.Biar sama-sama mendidik anak-anak dari kecil hingga dewasa sehingga mereka menjadi anak yang soleh dan solehah.Biar sama-sama melihat anak-anak membesar,menjadi orang-orang yang berjaya.Biar suami kita nanti menjadi wali kepada anak-anak perempuan kita.




AKUR



Bagaikan mimpi ana kini telah bergelar isteri.Jika dahulu sewa rumah,makan minum,tambang ke pejabat dan urusan lain ana harus membiayainya sendiri.Kini ada suami yang mengambil alih tanggungjawabnya.Ah!Ana bahagia.Namun disebalik kebahagiaan ana harus segera belajar untuk melakukan sesuatu atau tidak melakukan sesuatu dengan mendapat keizinan seseorang-iaitu suami!




Jika dahulu setiap keputusan boleh dilakuakn sendirian.Kini ana harus belajar supaya akur kepada suami.Allah SWT telah berpesan,"Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan,oleh kerana Allah SWT telah melebihkan orang-orang lelki(dengan beberapa keistimewaan)atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan(memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka."(an-Nisa':34)




Semasa bujang,ana hanya makan sekadarnya.Pada hujung minggu jika majikan tidak meminta bekerja lebih masa,ana boleh tidur semula selepas Subuh.Ana boleh bermalas-malasan.Membasuh baju dan menggosoknya apabila diperlukan sahaja.Tiba-tiba ana harus menjaga makan minum seseorang.Pada hujung mingguana harus menyediakan sarapan pagi,tengah hari dan makan malam.Ana harus membasuh dan menggosoknya.Pada hari-hari bekerja ana harus menyiapkan urusan rumah tangga sebelum ke pejabat.Petang nanti apabila pulang,ana harus menyediakan makan malam pula.Membasuh pinggan,mengemas dan menyapu lantai.




HARGA SEORANG ISTERI





Oh!Itukah harga seorang isteri?Ana masih belum mengerti.Berapa ramai pasangan suami isteri muda yang sanggup bertahan?Berapa ramai isteri muda yang bersedia menghadapi tekanan tanggungjawab dan kerenah suami?Suami yang hampir seusia dengannya.Dia yang masih muda remaja.Suami yang masih belum sudi melepaskan rakan-rakan sewaktu zaman bujangnya.Di kala itu sesekali syaitan datang menghampiri.Benarlah,Allah SWT ada menyatakan,




"Wahai anak-anak Adam!Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibubapa kamu dari Syurga..."(al-A'raf:27)




Berkahwin dalam usia muda remaja seawal dua puluhan merupakan ketentuan Dia Yang Maha Berkuasa.Berdoalah kepada Allah SWT agar memberikan kesabaran,pimpinan dan bimbingan bagi mendapatkan kebahagiaan dan keserasian dalam kehidupan berumah tangga kerana kita hamba-Nya yang lemah lagi tidak berdaya.Kata orang,"sedangkan lidah lagi tergigit."




Sebelum sanggup mendengar ucapan suami yang bakal menyatakan,"Daku terima nikahnya..."tanyalah diri,"Sudah bersediakah aku?"

No comments:

Post a Comment