Saturday, April 2, 2011

SEGENGGAM CANGKERANG,SEGUMPAL HARAPAN




Hasya seorang budak yang berani.Dia suka bermain di pantai seorang diri,mencari kulit siput dan kerang untuk membuat cenderahati.Sudah lama Hasya mempunyai hobi yang menarik ini.



"Hasya banyak dapat kulit siput dan kerang?"jerit kak Nur.



"Tak banyak,kak.Entahlah,hari ini tak banyak pula,"jawab Hasya sambil mengesat peluh di dahi.



Kulit siput dan kerang itulah menjadi hasil sampingannya untuk hidup selain bantuan duit pencen ayahnya sebagai anggota polis.Selain siput dan kerang,batu-batu juga dicarinya untuk dijadikan cenderhati.



Hasya dan kak Nur telah kehilangan kedua ibubapanya dalam satu kemalangan jalanraya.Hanya yang terselamat Hasya dan kak Nur,sejarah hitam itu tidak dapat dilupakan kerana kak Nur mengalami kecacatan kekal pada kedua belah kakinya dan dibantu oleh kerusi roda.Demi Hasya,dia harus kuat menghadapinya kerana Hasya masih belum dewasa lagi.Mereka tinggal di sebuah pondok kecil di perkampungan nelayan.



Sebaik sampai di halaman pondok kecil,Hasya mengigil kesejukan.Bajunya basah kuyup dijadikan tempat kendong hasil kutipannya.




"Hasya pergi jemur dahulu kulit siput dan kerang tu,"arah kak Nur yang merenung ke laut.



"Ya,"jawab Hasya tanpa banyak soal.



Tanpa mempedulikan kesejukan,Hasya menyusun setiap kulit siput dan kerang mengikut saiz dan nama.Sekali pandang sungguh cantik susunannya yang mengikut pelabagai bentuk dan jenis siput dan kerang.Hasya seorang budak yang tabah,rajin dan pandai menjaga hati kakaknya.Kak Nur sering kali memberi kata-kata semangat untuknya.Kak Nur mahu Hasya tabah menjalani kehidupan di dunia ini.



"Kak!"panggil Hasya.




"Ya Hasya,"jawab kak Nur yang duduk di atas kerusi roda.



"Hari ini kita makan tengah hari berlauk apa kak?"soal Hasya yang berlalu ke bilik air.



"Makan apa yang ada di bawah tudung saji itu,"luah kak Nur yang senyum apabila memandang adiknya.



Hasya siap mandi dan terus ke bilik bersiap-siap keluar menuju ke tempat letaknya tudung saji.




"Wah!Sedapnya kak,"jerit Hasya.




"Kak dapat dari mana semua ini?"tanya Hasya.Kecur air liur Hasya melihat udang masak merah,dua ekor ikan bawal goreng dan beberapa ekor sotong sebesar dua jari.



"Ketua kampung bagi,Mak Teh masak lebih hari ini,"terang kak Nur.



"Baiknya Mak Teh tu,"puji Hasya.Mulutnya penuh dengan nasi.



Kak Nur mampu tersenyum melihat Hasya yang kelaparan sejak pagi lagi tidak makan kerana terus ke pantai.



"Kak tidak makan sekali dengan Hasya?"tanya Hasya.



"Makanlah dulu,kak tidak ada seleralah,"balasnya satu.



"Hasya ingat ya!Orang kampung tidak akan mengubah nasib kita.Kita sendiri yang mesti mengubahnya,"pesan kak Nur kepada Hasya setiap kali berdepan dengan bantuan orang.



"Hasya tahu kak,"luah Hasya.



Selesai makan dan solat,Hasya menyambung tugasnya dan memungut semula kulit siput dan kerang itu.Kulit-kulit itu akan dicorak dan diwarnakan sendiri.Itulah tunjuk ajar Mak Teh kepada kak Nur untuk mencari pendapatan sampingan.Kak Nur tidak keberatan untuk mengajar Hasya menconteng kulit siput dan kerang,



"Kak,cantiknya yang ini,"puji Hasya.



"Yang itu bukankah Hasya yang buat petang semalam?"beritahu kak Nur terus-terang.




"Yalah kak,lupa pula Hasya,"jelas Hasya dengan penuh mesra.




Daripada bakat dan berkongsi minat yang dimiliki,kak Nur hanya mampu mengambil upah mencorak dan menconteng kulit-kulit siput dan kerang ini sahaja.Dia tidak mampu untuk melangkah dengan lebih jauh lagi dalam hidupnya.Tidak seperti Hasya seorang yang berjiwa kental dalam sesuatu pekerjaan.



Ketika pantai beralun-alun dengan ombaknya,hati Hasya berdetik untuk memiliki senuah kedai cenderhati sendiri pada masa akan datang.Semuanya untuk jaminan masa depannya dan kak Nur.Niat itu disimpan di lubuk hati kecilnya.Sayu hatinya apabila memandang pondok kecil tempat tinggalnya itu.Langkah semakin hampir untuk ke pondoknya.Tiba-tiba langkah Hasya terhenti,dia berdiri kaku.



"Oh Tuhan,apa semua ini?"Hasya terkejut.




Hasya terpegun apabila melihat pondok kecil itu dihiasi dengan cantik,penuh dengan kulit siput dan kerang dengan pelbagai saiz dan bentuk tergantung pada setiap sudut pondok dengan dipenuhi perbagai warna.



"Apa sudah jadi dengan pondok kecilku ini?"detik hatinya.




"Adakah diroboh dan dibina semula di tempat lain oleh Pak Teh?Eee.....tidak mungkin!Jadi,aku dan kak Nur hendak tinggal di mana?"Putaran otak mula berprasangka buruk.Dia menggeleng-geleng kepala.



"Tinggal di sinilah",Jawab satu suara.




Hasya mencari suara itu.Dapat ditangkap suara kak Nur.Memang sejak tadi lagi kak Nur duduk di atas kerusi roda di sudut pondok kecil itu tanpa disedari oleh Hasya.Tapi keluhannya disedari oleh kak Nur.Tanpa menyedari,kak Nur telah berada di sampingnya.



"Kak!Apa kak buat ni?"tanya Hasya.




"Buat apa?"Kak Nur pura-pura menjawab.



"Di depan ini apa?"soal Hasya.




"Hitam itu sebenarnya tidak pahit apabila dirasa tapi menjadi penawar dan hitan juga tidak cantik,tetapi menawan bagi orang yang tahu menilainya."Luah kak Nur.



"Kak",peluknya mesra dan penuh kasih sayang.




"Memiliki keberanian sahaja tidak cukup untuk melangkah,Hasya,"jelas kak Nur dalam pelukan mesra Hasya.




Dalam linangan airmata,Hasya sedar sejarah hitam masih lagi menghantui hidup kakaknya.Tapi hanya dengan keberanian sahaja yang Hasya mampu lakukan untuk kakaknya.Keberanian melawan ombak di tepi pantai untuk mendapatkan kulit-kulit siput dan kerang.






Sekarang Hasya merasakan mimpinya menjadi kenyataan.Semua itu telah dilakukan oleh kakaknya.Walaupun hanya berkerusi roda,pondok kecil itu dijadikan kedai cenderhati yang dihiasi ukiran lukisan mutiara kata pada setiap sudut.Semua itu menjadi tarikan pelancong dalam negeri dan luar negara.Malah pelbagai kaum dan bangsa boleh berkunjung untuk mendapatkan cenderhati semasa bercuti di perkampungan nelayan itu.

No comments:

Post a Comment